Wednesday, July 30, 2008

Pemeriksaan Mengejut Ting 4



Pemeriksaan mengejut kali ini dibuat pada waktu tengah malam, apabila ada seorang pelajar mengadu ia diganggu oleh pelajar lain.

Menjadi kebiasaan mana-mana asrama akan berlaku peristiwa di mana seorang pelajar akan diganggu, dibuli atau dipukul oleh pelajar lain yang berasa tidak puashati terhadap pelajar berkenaan. Keadaan ini terjadi kerana ada segelintir pelajar yang berasakan dirinya hebat dan ia memang mempunyai pengalaman menganggu atau memukul orang lain.

Apabila tinggal di asrama, pelajar begini memang tidak sesuai jika beliau tidak mampu untuk mengubah tabiat buruk berkenaan.

Walaupun pihak warden sering peringatkan hampir setiap hari tentang kesalahan mengaggu atau memukul pelajar lain, namun akan ada juga pelajar yang tidak mematuhi arahan berkenaan.

Bayangkan sebagai ibu bapa kita tidak sanggup untuk menjaga seorang anak kita yang kita anggap diluar kawalan, lalu kita memilih untuk memasukkannya ke asrama. Memang kita merasakan kita membuat pilihan yang bijak, jika anak kita mampu diasuh, dididik dan diubah oleh warden. Tetapi bagaimana pula sekiranya anak kita gagal didik sebaliknya menjadi punca kepada semua masalah di asrama, tentu wajar bagi warden untuk mengambil tindakan tertentu mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang ada di astekma.
Lantaran itu diharapkan ibu bapa dan warden patut mengadakan kerjasama dan hubungan dua hala yang berkesan dalam menangani masalah anak yang bermasalah.

Saturday, July 26, 2008

Jamuan Perpisahan AJK Surau






AJK surau adalah satu entiti yang amat penting dalam pengurusan kehidupan astekma. Ini kerana mereka bukan sahaja terlibat dalam memastikan tahap kebersihan surau terpelihara tetapi juga memastikan solat berjamaah berjalan lancar.

Satu jamuan makan telah diadakan bagi meraikan AJK pelajar ting5 bagi tujuan peralihan aktiviti kepada tingkatan 4. Semua menu yang dihadangkan mampu untuk memecahkan air liur para hadirin yang rata-rata belum makan malam.

Jamuan dimulakan dengan doa makan, makan dan ucapan Penasihat Surau, Ust Mohd Fauzi mohd Nor, Ketua Warden En Azman dan PK Ust Mohd Lotpi Razali, Pertandingan nasyid dan penyampaian hadiah.

Majlis juga telah meraikan hari lahir ketua warden kali ke....... dengan acara pemotongan kek.

Friday, July 25, 2008

Tetamu SMT Tengku Ampuan Afzan, Bentong.





Hujung minggu ini Astekma menerima tetamu dari SMT Bentong Pahang. Mereke terdiri dari guru pengiring Norazman Abdullah(S/U Koku),Tanapalan, Azlina, Naimah dan dua pemandu.

Untuk lawatan kali ini mereka memilih 15 pelajar perempuan dan 20 pelajar lelaki yang kesemuanya cemerlang dalam aktiviti kokurikulum.

Antara tempat yang akan mereka lawati ialah pengkalan TLDM, Pulau Janakuasa Manjung, pantai Lumut dan Pulau Pangkor. Untuk satu malam mereka menginap di Astekma dan satu malam lagi mereka akan menginap di salah sebuah chalet di Teluk Batik.

"Macam mana cikgu menjaga supaya pelajar tidak merosakkan harta asrama?", itu soalan utama yang diajukan kepada saya oleh guru pengiring Cikgu Azlina.

Saya hanya tersenyum, lalu beliau menambah,"Dewan makan ni memang cantik, suasananya sungguh ceria dan menarik". Lalu beliau mengarahkan beberapa pelajar perempuan untuk mengambil gambar dewan makan puteri Astekma.

Dalam perbualan bersama mereka ternyata mereka amat kagum dengan kerjasama yang diberikan oleh penghuni Astekma kerana tidak merosakkan harta asrama(Tahniah kepada semua penghuni yang berkerjasama) dan saya menegaskan bahawa kerjasama dari warden dan penyelia asrama juga amat baik.

Itulah gambaran bagi pertamakali orang luar melihat fizikal asrama, dan sememangnya dewan makan Astama antara yang paling ceria di kalangan SMT Semalaysia.

Monday, July 21, 2008

Taklimat Kepimpinan Pelajar Asrama




Kepimpinan pelajar asrama satu keperluan yang perlu dititikberatkan. Ini kerana pihak pengurusan asrama tidak akan mampu untuk menjaga asrama dua puluh empat jam sehari.

Orang yang menjaga pengurusan asrama adalah terdiri dari warden dan penyelia asrama. Warden pula terdiri dari guru-guru yang kerjanya mengajar dari jam 7.30 Pagi sehingga 2.30 ptg dan penyelia asrama pula adalah kerani yang bertugas dari 8pg hingga 5 ptg.

Oleh itu pengurusan asrama mesti dibantu oleh pelajar yang dilantik untuk menjadi pemimpin dikalangan pelajar sendiri.

Hujung minggu lalu semperna kehadiran Al-Fadhil Ust Idris, satu taklimat kepimpinan (pengawas& ajk surau) telah diadakan. Antara penekanan yang diberikan oleh ust Idris ialah mengenai kepimpinan melalui tauladan, keyakinan diri dan kebijaksanaan membahagikan masa.

Seorang pengawas yang melanggar peraturan tidak mungkin mampu untuk melarang pelajar lain melanggar peraturan yang sama. Seorang ketua yang tiada keyakinan diri tidak mungkin mampu untuk memberi arahan kepada pelajar lain, dan seorang ketua yang tidak pandai membahagi masa tidak mungkin boleh membuat banyak perkara dalam satu masa.

Thursday, July 17, 2008

Pemeriksaan Mengejut




Pemeriksaan mengejut atau "spot check" memang wajar diadakan kepada penghuni asrama. Ini kerana dalam ramai kalangan pelajar akan wujud sebilangan kecil (ikut pengalaman- 5%) dari penghuni asrama kebiasaannya gagal untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Mereka inilah yang digelar kumpulan resiko tinggi.Kumpulan yang kecil ini jika dibiarkan ianya akan merebak, seperti merebaknya minyak diatas permukaan air. Jika kita berjaya mengawal atau membuang minyak tersebut maka baki air yang tertinggal amat bermanfaat sekali.

Di samping undang-undang bertulis yang dikemukakan kepada pelajar sewaktu minggu orentasi (minggu semaian subur), hampir setiap malam/hari para warden akan membuat teguran samada di surau, di perhimpunan blok mahupun diperhimpunan asrama.

Namun setakat teguran melalui cakap sahaja tidak memadai bagi kumpulan pelajar yang termasuk dalam kategori resiko tinggi. Sesekali pemeriksaan mesti dibuat untuk memastikan mereka tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan masa depan mereka sendiri.

Walaupun pihak pengurusan asrama begitu sibuk merancang pelbagai aktiviti asrama supaya setiap hujung minggu pelajar disibukkan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat, tetapi kumpulan beresiko tinggi kebiasaannya membuat aktiviti mereka sendiri.

Pemeriksaan mengejut juga dibuat di pondok pengwal bagi memastikan penghuni astekma yang masuk bebas dari barang-barang yang dilarang di astekma.

Tuesday, July 15, 2008

JAMUAN MAKAN PENUH NOSTALGIA





Setelah selesai mesyuarat STESMARIANZ jam 1.30 ptg ahli mesyuarat diraikan jamuan makan oleh pihak pengurusan Astekma.

"Cikgu ni macam tahu je kami rindu asrama", komen Fini(1996/7) ketika saya nyatakan bahawa saya sengaja biarkan semua bekas penghuni Astekma makan dalam tray.

"Eh...bila pulak ada DM ni, dulu zaman kami ada satu DM je. Lani dan ada dua pulak", komen pula yanti, apabila diajak makan di DM lelaki.

"Cikgu masih setia di sini"', komen seorang pelajar yang saya dah tak ingat namanya ketika beliau mula-mula ternampak saya. Malah sewaktu hendak meninggalkan Astekma, ada seorang Ex-Stesma perempuan terus hulur tangan nak bersama dengan saya dihadapan suaminya. Serba salah saya dibuatnya.

Itulah sebahagian reaksi bekas stesma yang hadir pada 13 Julai 2008 lalu.

ALUMNI STESMARIANZ





Ahad jam 10.40 pagi saya dihubungi oleh Presiden Ex-Stesma sdr Anuar bahawa saya perlu hadir dan merasmikan mesyuarat agung kali pertama STESMARIANZ.

Memang saya bercadang untuk hadir tetapi bukan merasmikan mesyuarat tersebut tetapi memandangkan hanya seorang guru sahaja yang hadir iaitu Cik Siti Mariam, maka saya bersetuju demi memberi semangat untuk meneruskan perjuangan Ex-Stesma kepada jawatankuasa yang hadir.

Walaupun yang hadir cuma sekitar 30 orang sahaja tetapi semangat dan kesungguhan mereka agak luar biasa. Ada yang membawa anak kecil, suami/isteri dan ahli keluarga masing-masing.

Ada yang datang dari Ipoh menaiki motosikal, dari KL, Shah Alam dan Seremban. Ada yang datang agak awal dan ada yang datang ketika mesyuarat sudah tamat. ITULAH CABARAN DALAM MENGENDALIKAN KERJA SUKARELA seperti ini.

Sebab itu dalam ucapan perasmian saya ada ceritakan pengalaman saya terlibat dengan Ex-TI Penang dengan tujuan untuk memberi semangat kepada AJK STESMARIANZ.

Sibuk Memanjang



Jumaat 11 Julai 2008 semua penghuni Astekma balik ke kampung. Semestinya para warden boleh rehat danturut sama balik kampung, tetapi realitinya tidak begitu.

Saya bercadang untuk turut serta bersama guru-guru Stesma ke SMT Taiping dalam menjayakan Pesta Sukan Dan Kebudayaan SMT Perak, di samping menyelesaikan beberapa perkara berkaitan dengan urusan percetakan bahan Astekma di syarikat percetakan Seri Perak.

Sabtu 12 Julai 2008 saya bertolak ke Taiping sekitar jam 10 pagi. Dalam perjalanan saya singgah sebentar di Pantai Remis rumah seorang pelajar Astekma penghuni K5 Sdr Muhd Khairol Hafiz Md Mahidin. Di mana beberapa hari sebelum itu salah seorang kakaknya yang bekerja sebagai pegawai MPM telah mengalami kemalangan jalanraya dan mengalami kecederaan di bahagian muka. Pembedahan plastik terpaksa dilakukan kerana wajahnya rosak teruk bahagian rahang dan muka.

Nasib kakak beliau agak baik kerana beliau baru membeli satu polisi insuran takaful di mana syarikat insuran dapat menampung hampir RM40K untuk tujuan perubatan. Malang tak berbau, ingat sebelum terjadi.

Sewaktu saya sampai, sdr Hafiz tiada di rumah kerana menunggu buah durian gugur sambil membaca novel( jiwang jugak dia ni). Tengoklah hidangan durian beliau, LEMAK DAN BERKRIM, memang power.

Istimewanya keluarga Hafiz(dikenali sebagai ustaz oleh Cikgu Wan) kerana kesemua 6 kakak dan 1 abangnya adalah lulusan universiti.

Thursday, July 10, 2008

Taklimat PK Hem




PK Hem En Wan Yusaini Wan Hassan memberi taklimat kepada pelajar setiap hari rabu malam khamis. Banyak nasihat, teguran dan kritikan yang telah beliau lontarkan kepada penghuni astekma.

Taklimat berliau minggu ini menjurus kepada soal kecemerlangan akademik penghuni asrama dan pelanggaran disiplin asrama. Beliau mengumumkan tiga pelajar dipanggil ibu bapa mereka kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk membawa beberapa barang larangan.

Tindakan perlu ditangani deangan segera kerana perkara buruk biasanya amat mudah menjadi barah di kalangan penghuni asrama jika dibiarkan berterusana.

Sebenarnya En Wan Yusaini mengambil-alih tugas HEM sekitar penghujung tahun 2006 tetapi tindakan beliau kelihatan drastik, praktikel dan boleh mengubah suasana. Ini kerana dalam banyak keadaan beliau sendiri turun dan menghayati kehidupan diastekma.

Semoga En Wan Yusaini dan barisan warden lebih bersabar dan beristiqamah dalam menghadapi cabaran penghuni astekma yang seramai 650 orang itu.

Wednesday, July 9, 2008

Taklimat Ketua Warden




Taklimat Ketua Warden Asrama biasanya diadakan dua atau tiga kali seminggu. Kebiasaannya pada hari ahad malam isnin antara waktu magrib dan isyak. Waktu ini sesuai kerana keesokkannya pelajar akan ke sekolah.

Taklimat biasanya berkisar soal undang-undang dan peraturan asrama yang berkaitan dengan kehidupan asrama yang lebih kondusif. Pada ahad lalu Ketua Warden menimbulkan persoalan mengenai PERUBAHAN. Beberapa contoh tentang PERUBAHAN telah beliau kemukakan kepada para pelajar iaitu;

i.Bill Clinton memenangi pilihanraya presiden Amarika Syarikat kerana telah berjanji untuk membuat perubahan tentang dasar luar negara.

ii.Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono juga memenangi presiden Indonesia kerana berjanji untuk membuat perubahan ekonomi selepas era kejatuhan Suharto.

iii Syarikat telefon sesular nokia dan ericson berjaya menguasai teknologi pembinaan handphone kerana berjaya membuat beberapa perubahan drastik walaupun teknologi maklumat sebenarnya dikuasai oleh Intel dan motorola.

Untuk berjaya pelajar tingkatan 5 diingatkan supaya membuat perubahan terhadap diri mereka dengan segera kerana;

1.Kini sudah memasuki bulan julai bermakna masa semakin suntuk.

2.Aktiviti lain dari akademik tidak penting lagi.

3.Jika gagal buat perubahan sekarang bermakna masa depan mungkin agak sukar.

4.Kejaya kita sebanarnya diukur dari sudut akademik.

Tuesday, July 8, 2008

PROGRAM MOTIVASI PENGHUNI ASTEKMA




Program motivasi astekma sudah terlalu acapkali diadakan. Namun para warden dan guru yang terlibat tidak pernah jemu apatah lagi muak untuk mengadakannya. Kadang-kadang motivasi yang diadakan bukan sahaja khusus kepada soal akademik tetapi juga motivasi keimanan. Di mana penceramah atau fesilitator secara langsung menekankan soal keimanan, ketakwaan, kerohanian dan soal balasan azab yang diterima di akhirat bagi mereka yang sengaja lalai dalam tangungjawab sebagai seorang muslim.

Pada 19 Julai 2008 pihak astekma merancang mengadakan seminar pemantapan diri yang akan di sampaikan oleh bekas pensyarah UiTM Tn Hj Mohd Idris Ahmad yang juga seorang penulis buku Kecemerlangan Akademik Bermula Dalam Diri Anda.

Pada 28 Jun 2008 lalu pihak sekolah juga telah memanggil motivetor terkenal En Sufian Yaacob seorang guru bimbingan dari SK Bukit Jana Taiping.

Pada 26-27 Jun 2008 lalu pula motivetor dari Kota Bahru, Raja Shamri yang terkenal dengan fizikalnya yang istimewa(memakai kaki palsu) tetapi semangatnya bagai waja telah memberi kesedaran yang amat bermakna buat pelajar astekma.

Sebelum itu pada 23 Jun 2008 Dr Jamnul Azhar Mulkan juga datang memberi kuliah bersama penjualan pin mindanya.

Pada 30 April 2008 Ustaz Akhwan Afendi Zulkifli dijemput dari Kuantan juga dengan penuh semangat mengajak pelajar mengubah diri dan meningkatkan prestasi akademik.

1 Mac 2008 Ustaz Ali Sobri bersama seorang bekas penghuni astekma Sdr Mohd Amin Maula juga dijemput khas dari Ipoh untuk membuka fikrah pelajar supaya dapat meneroka alam realiti akan datang terhadap diri mereka.

Namun persoalannya apakah tidak cukup lagi kesedaran atau motivasi yang ada di dalam diri penghuni astekma bagi menanam cita-cita untuk berjaya dalam akademik? Barangkali para pelajar boleh respon.
Namun jika semua aktiviti itu tidak dihayati atau dimanfaatkan tentulah tiada sebarang kesedaran dalam diri pelajar. Maka jadilah apa yang sudah terjadi.

Monday, July 7, 2008

Jamuan Makan Malam Blok Asrama




Jamuan makan malam anjuran blok astekma pada tahun 2008 setakat ini telah diadakan oleh blok P dan M. Blok-blok lain mungkin mengadakannya di penghujung tahun atau menunggu suasana hari raya puasa yang dijangka pada 1 atau2 Oktober 2008.

Bukan kerja mudah untuk mengadakan jamuan dengan komuniti ahlinya sehingga 70 ke 80 orang. Namun hasil inisiatif dan kerjasama warden dan penghuni blok jamuan dapat diadakan dengan jayanya.

Sebenarnya jamuan sebegini bukanlah satu perkara baru bagi penghuni astekma. Saya masih ingat lagi sekitar tahun 1994 atau 1995 blok K pernah beberapa kali menjemput saya memberi ucapan semperna jamuan yang diadakan di blok mereka. Ketika itu pengurusan blok K diurus oleh dua orang warden iaitu Cikgu Jalaluddin as-Sayuti Mohd Zaki dan Cikgu Rosli Samot. Blok K ketika itu agak istimewa kerana hampir setiap bulan mereka mengadakan jamuan semperna hari lahir penghuni blok mereka. Ini bermakna mereka berjaya mengurus tabungan yang cukup.

Oleh kerana aktiviti berpasukan seperti jamuan ini sering mereka lakukan maka penghuni blok K secara tidak langsung telah membentuk satu disiplin yang tinggi sehinggakan banyak perkara mereka berjaya lakukan bersama. Ini terbukti apabila blok K berjaya mengujudkan perpustakaannya mereka sediri di salah sebuah bilik bacaan di bawah blok. Mereka juga berjaya mengadakan tanaman pokok angkat disekeliling blok K dan paling menarik mereka berjaya mengujudkan suasana blok yang bersih dan ceria. Setiap penghuni blok tidak dibenarkan berkasut kecuali di bawah blok. Kasut perlu ditanggalkan di bahagian bawah dan dijinjing sehingga ke bilik masing-masing.Bilik-bilik mereka diberi nama khas selain dari nama yang sedia ada.

Berbalik pada soal jamuan oleh blok astekma, pihak pengurusan sebenarnya amat menghargai setiap aktiviti yang dianjurkan oleh blok asrama seperti jamuan, gotong-royong mahupun sukan yang dijalankan. Ini kerana jika kita membiarkan pelajar tanpa aktiviti yang positif mereka akan melakukan perkara yang negatif dan melanggar peraturan blok atau asrama. Lantaran itu saya menyeru kepada penghuni astekma selalulah memberi cadangan aktiviti kepada warden masing-masing.

Tayangan Malam Minggu



Bagi mana-mana penghuni asrama malam minggu adalah malam yang dinanti-nantikan kerana malam minggu mereka tidak perlu pergi study atau prep. Bagi mereka yang kaki prep malam minggu adalah biasa sahajadan akan tetap buka buku walaupun terpaksa menghadapi cabaran.

Bagi penghuni astekma setiap malam minggu sekali dalam sebulan akan diadakan aktiviti tayangan movie. Jika tiada tayangan movie penghuni astekma diberi kebebasan untuk menonton tv di bawah blok masing-masing atau duduk bersamtai di bilik masing-masing.

Seingat saya tayang movie di asrama ini sudah lama diperkenalkan. Sejak saya bersekolah Asrama SMT Tunku Abd Raman PP (TI Penang) sekitar tahun 1993/94 tayangan movie sudah ada dan ianya diuruskan oleh kelab tayangan dengan kutipan sejumlah wang, sudah tentu guru tayangan MR PIARA SINGH tidak dilupakan. Pada masa itu tayang hanya menggunakan VCR dan bersekrinkan tv.

Pada tahun 199-an rasanya di astekma tiada sebarang aktiviti tayangan sehingga LCD diperkenalkan. Pihak sekolah pernah memberi satu LCD besar lagi berat yang perlu di angkat oleh dua orang pelajar untuk aktiviti tayangan. Sejumlah wang sebagai tiket masuk juga pernah dikutip pada pelajar.

Tayangan biasanya dibuat dalam dewan dengan dikawal oleh AJK dewan. Pelajar perempuan biasa diletak di barisan hadapan dan pelajar lelaki di barisan belakang. Apabila pelajar lelaki dan perempuan bercampur dalam dewan yang suasananya agak gelap sesuai dengan aktiviti tayangan maka tingkahlaku pelajar akan bertukar. Pelajar lelaki biasanya akan bising dan mencipta berbagai bunyi demi untuk menarik perhatian pasangan masing-masing. Di sini peranan guru tayangan amat diperlukan. Jika guru tayangan membiarkan sahaja tanpa mengawal keadaan pelajar maka akan terjadilah apa yang pernah terjadi.

Mulai tahun 2007 lalu pihak sekolah telah membekalkan dua LCD untuk astekma, ini amat mengembirakan kerana tayangan movie boleh dilakukan serentak di dua tempat yang berasingan. Oleh itu mulai tahun lalu pelajar perempuan mula menonton movie di dewan makan perempuan sementara pelajar lelaki akan menonton di dewan makan perhimpunan.

Apabila iklan tayangan dikeluarkan kebiasaanya pelajar rasa terpanggil untuk segera pergi menonton dan tiada sebarang bayaran dikenakan kepada penghuni astekma.

Sunday, July 6, 2008

Lelakipun outing gak






Penghuni astekma lelakipun outing jugak. Dengan bas baru lagi... itulah komen pelajar lelaki ketika melayari laman ini.

Memang penghuni aspurapun outing tetapi masalahnya ialah ketika penyertaan untuk outing ditutup hanya sekitar 40 orang je tetapi ketika nak pergi outing ada sehingga 70 orang. Nasib baik driver agak spoting.

Tetapi persoalan yang ingin ditimbulkan kenapa pelajar tidak suka ikut arah.

Friday, July 4, 2008

Keluar Bandar -Outing





Keluar ke bandar memang merupakan salah satu aktiviti yang wajar diadakan oleh mana-mana asrama. Tidak terkecuali penghuni astekma. Sejak dibuka tahun 1992 sehingga kini 2008 budaya keluar ke bandar masih diteruskan.
Saya ingat lagi ketika menjadi Ketua Warden mulai ogos 1993 pelajar dibenarkan keluar bandar setiap minggu dimana pada minggu pertama pelajar lelaki keluar hari sabtu dan pada minggu hadapan mereka akan keluar hari ahad. Keadaan ini berselang-seli atara pelajar lelakidan perempuan. Mereka dibenarkan keluar hari sabtu kerana hari sabtu mereka boleh berurusan dengan bank atau pejabat pos.
Tetapi lama-kelamaan penghuni astekma gagal memanfaatkan masa keluar ke bandar dan warden memutuskan penghuni astekma memadai dibenarkan keluar ke bandar setiap dua minggu sekali berselang-seli lelaki perempuan. Namun hari ini pelajar hanya dibenarkan keluar ke bandar sebulan sekali sahaja dan itupun hanya 2 jam sahaja.
Pada tahu 1992 hingga 1996 kebiasaannya pelajar keluar ke bandar menggunakan perkhidmatan teksi kerana tiada bas yang melalui di hadapan Stesma. Ada juga yang menaiki bas tetapi berjalan kaki beramai-ramai melalui SM Seri Manjung untuk menunggu bas. Tetapi ramai yang selesa berjalan kaki terus ke bandar Seri Manjung.
Mulai 1997 apabila Hospital Seri Manjung beroperasi penghuni Astekma beruntung kerana ada bas lalu dihadapan hospital dan melalui hadapan Stesma dan mereka "outing" menggunakan perkhidmatan bas berkenaan. Tetapi malangnya setelah 10 tahun beroperasi, mulai pertengahan 2007 lalu perkhidmatan bas berkenaan telah ditamatkan.
Hari ini tiada lagi sebarang bas yang melalui di hadapan stesma mahupun dihadapan SM Manjung. Maka pada tahun 2008 pihak pengurusan Astekma telah menukar kaedah keluar ke bandar iaitu pelajar hanya dibenarkan keluar sebulan sekali sahaja dengan menggunakan perkhidmatan bas sekolah atau bas yang disewa khas apabila bas sekolah tidak dapat digunakan.
Mereka hanya dibawa ke pusat memabeli belah Giant selama dua jam di mana pelajar perempuan outing antara 10.30pg hingga 12.30 tgh dan pelajar lelaki 2.30ptg hingga 4.30ptg.